Bila Hati Mula Berbicara...

Sunday 18 March 2012

[unknown] prolog-1

Angin petang lembut membawa ombak menuju ke pantai, kemudian ia membelai setiap ciptaan Allah yang berada disitu, dedaunan pokok terbuai-buai mengikuti irama angin, dan ombak pula masih lagi setia menemani pantai, tidak pernah berhenti semenjak sekian lama,kesetiaan yang tiada tandingannya..


Tidak jauh dari pantai, dibawah bayangan pokok rhu, kelihatan sesusuk tubuh sedang berdiri tegak menghadap hebatnya ciptaan Allah dihadapan, abaya dan jilbab yang dipakainya turut sama terbuai-buai dibelai lembut oleh bayu petang,bibir tidak putus melafazkan pujian kepada Rabb pencipta Alam ini..Mata dilontarkan jauh ketengah laut, tenang membiru ditemani awan yang setia memayungi, ketenangan pantai itu mengusik tangkai hatinya, dia teringatkan kata-kata seseorang..


"hati manusia seperti pantai, jangan mudah tertipu dengan tenangnya permukaan laut itu, laut memang sentiasa akan menunjukkan ketenangannya, namun tiada siapa yang tahu segala gelora dan badai yang sedang melanda dasarnya, sekuat mungkin ia cuba untuk menyembunyikan semua badai yang sedang menyiksa jauh didasarnya, namun dipermukaannya, yang ditunjukkan hanyalah ketenangan, kegembiraan, dan keindahan"..


Dia menyambung lagi..


"cuma apabila ia sudah tidak mampu lagi menanggung hebatnya badai yang menyiksa, maka disaat itu dengan penuh keterpaksaan ia terpaksa menodai ketenangan permukaan dan pantainya dengan ribut yang ganas menggarang.. Dan disaat itu, langit turut menangisi pemergian dan kehilangan ketenangan itu, matahari jua menghilang, tidak sanggup melihat pemandangan yang menyiksakan itu"..


Dan hari ini, dia benar-benar faham dengan apa yang dimaksudkan dari kata-kata itu, disaat ini dia teringatkan seseorang, seseorang yang sangat disayangi, seseorang yang sangat dirindui, hari ini dia cuba untuk tersenyum, cuba untuk bergembira, cuba untuk menunjukkan pada semua orang, pada insan yang berada disekelilingnya bahawa dia adalah insan yang paling bahagia, namun jauh didasar hati, dia tidak dapat menipu diri sendiri bahawa, dia sebenarnya sedang tersiksa memendam sesuatu, memendam rindu yang tidak berakhir, merindui seseorang yang telah jauh terpisah daripadanya, dipisahkan oleh sesuatu yang pasti, dia juga tahu, seandainya dia pergi mengembara walaupun hingga ke hujung pelusuk dunia, dia tetap tidak akan dapat bertemu dengan insan yang dirinduinya, namun apakan dayanya, dia tidak dapat melupakan insan itu, insan yang sangat bermakna padanya..


Kadangkala dia rasa tidak kuat lagi untuk menanggung kesemua itu, setiap kali cebisan kenangan datang menjenguk pantai hati, disaat itu hatinya akan menjadi sayu, bibir mungkin mengukir senyuman cuba untuk menenangkan hati, dan menipu insan disekelilingnya, namun saat tiada siapa disisi, saat dia bersendirian, kadang-kala air mata tidak dapat ditahan mengalir membasahi pipi..


Gelak tawa kanak-kanak yang sedang bermain ditepi pantai menarik perhatiannya, pandangan dilontarkan pula pada 3 orang kanak-kanak yang sedang bermain dengan ombak laut yang tenang memukul pantai di petang yang damai itu, seorang pemuda dalam lingkungan 20an kelihatan mengawasi mereka, dia duduk menghadap pantai sambil tangannya ligat menari diatas dada kanvas dihadapannya, cuba merakamkan suasana petang yang indah itu mungkin. sesekali dia mengingatkan kanak-kanak itu supaya tidak pergi terlalu jauh..


Pemandangan itu mengingatkan dia lagi kepada insan yang dirinduinya itu, kenangan lama terbayang kembali, pertemuan kembali setelah sekian lama dipisahkan oleh perpisahan yang menyiksakan, masih jelas terbayang dimindanya pertemuan mereka ditengah bumi jihad yang menyimpan jutaan rahsia dan cerita, pertemuan yang tidak dirancang namun telah disusun rapi oleh Rabbul Izzati..


Air mata tak mampu ditahan lagi, akhirnya turun jua membasahi pipi, pemandangan dihadapan semakin kabur digenangi air mata,


"Abang, Sya rindukan Abang, rindu sangat, datanglah Abang, Sya rela walaupun hanya sekadar didalam mimpi"..


Tanpa sedar bibir menuturkan kata-kata itu, Air mata semakin laju membasahi pipinya..
Tiba-tiba terdengar bunyi tapak kaki menghampirinya dari belakang.


"hai jauh termenung, sampai tak sedar Abang datang ni ya"


Tidak perlu berpaling dia sudah tahu siapa yang berada dibelakangnya,
Tangan segera dibawa ke muka, cuba menghilangkan sisa-sisa air mata, bibir cuba mengukir senyuman manis, namun terasa seperti terlebih gula..


Badannya dipusingkan menghadap lelaki itu, pandangan mereka bertemu, dia cuba melarikan matanya, tidak mahu lelaki itu mengesan apa-apa disebalik senyuman dan anak matanya yang sedang menyimpan 1001 rahsia yang sukar untuk diungkapkan, kepala didongakkan keatas, mata memandang langit yang masih lagi setia menemani laut sejak sekian lama..


Dan dibawah langit yang sama, dihadapan pantai yang sama..........


Bersambung.....


P/S:
*mini novel terbaru dari Ana, masih lagi tercari-cari tajuknya..
*actually, ana tak habis tulis lagi mini novel ini, still lagi dalam penulisan; tapi entahlah terasa gatal pulak tangan ni nak post kan, ahakz..
*Idea nak tulis cerita ini pun datang secara tak sengaja..
*semoga dipermudahakan urusan ini InsyaAllah..
*amaran awal, kepada semua yang membaca, Ana minta maaf sangat andainya akan membuatkan Antum semua lama menunggu dari satu part ke part yang seterusnya, sebab ini kali pertama Ana buat cerita yang menggunakan genre yang Ana sendiri tak pernah try sebelum ini.. So kadang-kadang tu lambat sikit la idea nak datang..
*komen dan nasihat yang membina sangat dialu-alukan..

No comments:

Post a Comment